Assalamualikum..
terlebih dahulu marilah kita melafazkan rasa syukur kepada Allah swt kerana masih mengizinkan kita menjalankan kehidupan yang diibaratkan sebagai seorang perantau di muka bumi ini dan untuk mencari sebanyak mungkin bekalan untuk ke hari akhirat...
kita sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan demi kesilapan dalam menjalani kehidupan ini.Malah terbit rasa tanda tanya adakah kita masih berpeluang untuk memperbaiki diri yang telah banyak terjebak dengan dosa ini?. Subhanallah,Alhamdulillah selagi dunia belum kiamat dan selagi nyawa tidak lagi berada di halkum dan ketika menghadapi sakaratul maut inshaallah Allah masih
lagi membuka pintu taubat kepada kita saya ada baca beberapa artikel yg menyatakan taubat masih
boleh diterima antaranya daripada artikel
https://jalanakhirat.wordpress.com/2010/03/19/waktu-taubat-tidak-lagi-diterima/
Seperti firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 54 yang bermaksud:
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.”
1. Nazak
Manusia sememangnya sentiasa lalai. Lebih-lebih lagi apabila banyak nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan kepada mereka. Kelalaian inilah yang membawa manusia kepada azab Allah S.W.T. yang amat pedih di akhirat nanti kecuali pada mereka yang sedar akan nikmat Allah S.W.T. Mereka sentiasa bersyukur tidak kira masa senang mahupun waktu susah, waktu sihat mahupun waktu sakit.
Tetapi ramai manusia yang akan mengingati Allah S.W.T. apabila datangnya sakit. Pada saat dan ketika inilah mereka akan ingatkan Allah S.W.T. Pada saat inilah mereka akan bertaubat, akan meninggalkan segala perbuatan dosa yang telah dilakukan dan apabila mereka sihat semula, mereka lupa akan janji mereka semasa sakit.
Ingatlah Allah S.W.T. tidak akan menerima taubat hamba-Nya apabila roh sudah sampai ke kerongkong atau dalam keadaan nazak. Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesunggunya Allah akan menerima taubat seseorang hamba selama belum sampai saat ghargharah.”
2. Terancam Nyawa
Manusia yang telah berada dalam bahaya dan dirasakan akan mati, dan pada ketika itu, mereka bertaubat kepada Allah, maka Allah tidak akan menerima taubat hamba-Nya.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nissa ayat 18, maksudnya:
“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini.” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
3. Hampir Kiamat
Apabila Kiamat bakal menjelma, Allah tidak akan menerima taubat hamba-Nya. Antara tanda Kiamat Kubra adalah apabila matahari terbit dari arah tempat terbenamnya ia, iaitu barat. Dan apabila matahari terbit dari barat, ketika itulah Kiamat menjelma dan ketika itu jugalah taubat hamba-Nya tidak diterima oleh Allah S.W.T.